Pengenaan Zakat Ke Atas Aset Digital Menurut Perspektif Hukum Islam

Pengenaan Zakat Ke Atas Aset Digital Menurut Perspektif Hukum Islam

Dengan perkembangan aset seperti fintech atau blockchain yang mewujudkan bitcoin dan seumpamanya telah membuka lapangan baru kehartaan umat Islam. Dari sini perbincangan-perbincangan hangat telah berlaku antara intelektual Islam untuk melihat kedudukan aset digital seumpama ini. Jika dahulu emas dan perak fizikal menjadi aset tukaran dan bernilai, kini aset maya telah cuba mengambil tempat.

Persoalan yang timbul kedudukan aset-aset digital ini tidak boleh dirumpunkan dalam satu kelompok apabila mendalami konsep harta dalam Islam. Tambahan pula jika hendak dibahaskan dalam aspek harta yang hendak dizakatkan. Sebagai contoh, kedudukan hak dan manfaat sebagai harta juga menjadi satu perbincangan penting menurut hukum Islam. Apatah lagi apabila menyentuh pemilikan dan kuasa yang menjadikan sesuatu harta itu mempunyai hukum yang berbeza. Ulama telah meletakkan kategori pemilikan seperti pemilikan penuh, pemilikan kurang (naqis), pemilikan kuasa mengurus, dan pemilikan dalam tangan.

Selain aspek kedudukan aset digital sebagai harta zakat, persoalan mengenai jenis zakat yang perlu dikeluarkan. Secara kasarnya, jenis zakat simpanan, zakat perniagaan, zakat pendapatan (mal al-mustafad) dan zakat saham adalah signifikan bagi perbincangan zakat aset digital. Akan tetapi setiap aset digital tidak akan tergolong dalam jenis zakat yang sama. Tambahan pula setiap jenis zakat akan melibatkan kaedah perakaunan zakat yang berbeza. Timbul lagi perbincangan mengenai bagaimanakah kaedah perakaunan zakat ke atas aset digital dilakukan.

Lantaran daripada permasalahan dan persoalan yang timbul, perlu satu model zakat aset digital yang holistik dalam dunia Islam hari ini. Lebih-lebih lagi aras kemodenan telah jauh berkembang yang kini berada dalam revolusi industri 4.0 ke arah revolusi industri 5.0. Perhatian juga perlu diberikan kepada pusat zakat mengenai fasiliti dan kesediaan dalam melaksanakan kutipan mahupun agihan zakat aset digital ini. Tambahan lagi apabila dunia ke arah mencapai Social Development Goals (SDG) yang digarapkan oleh United Nation seperti No Poverty, Industry, Innovation and Infrastructure dan Decent Work and Economic Growth. Model zakat aset digital ini juga boleh menjadi pemangkin institusi zakat mencapai SDG tersebut.

Kajian “Pengenaan Zakat Ke Atas Aset Digital Menurut Perspektif Hukum Islam” ini dijalankan berpandukan tiga objektif utama, iaitu;

1. Menjelaskan konsep aset digital dan kedudukannya dalam hukum islam

2. Mengkaji kedudukan aset digital sebagai aset yang wajib dizakatkan dalam hukum Islam

3. Menganalisis isu-isu hukum dalam perlaksanaan zakat ke atas aset digital.

Kajian ini tertumpu kepada perbincangan zakat ke atas aset digital dengan berpandukan literatur dan beberapa pandangan pakar. Kajian ini akan menggunakan pendekatan kualitatif dengan menggunakan data-data perpustakaan sebagai sumber utama. Selain itu, kajian ini juga akan menemu bual beberapa pakar sebagai rujukan terhadap isu kutipan zakat aset digital. Kajian dilakukan dengan mengutamakan kitab-kitab fiqh dan melakukan proses takyif fiqhi jika terdapat perbahasan yang belum disentuh secara jelas dalam hukum Islam. Oleh itu, analisis terhadap data-data tersebut akan dilakukan secara induktif (istiqra’) dan deduktif (istinbat) serta komparatif (muqaranah).

Kajian ini akan menjadi pemangkin dalam teori hukum Islam terhadap zakat aset digital. Kajian juga akan membentuk kerangka umum perbincangan fiqh mengenai zakat aset digital yang boleh dijadikan rujukan oleh pusat zakat kelak.

Categories: Research Report

Leave a Reply

Your email address will not be published.