Taksiran Zakat Perniagaan Bagi Institusi Perbankan Islam dan Koperasi: Analisis Kandungan

Taksiran Zakat Perniagaan Bagi Institusi Perbankan Islam dan Koperasi: Analisis Kandungan

Kajian ini memberi fokus kepada perakaunan zakat perniagaan bagi institusi perbankan Islam dan koperasi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kajian ini bertujuan mengenal pasti kaedah perakaunan zakat perniagaan yang diguna pakai bagi syarikat berasaskan perkhidmatan perbankan Islam dan koperasi. Selain itu, kajian ini juga akan mengemukakan cadangan format taksiran zakat perniagaan bagi syarikat berasaskan perkhidmatan perbankan Islam dan koperasi yang komprehensif dan praktikal. Institusi zakat disaran menyediakan format atau templat taksiran zakat perniagaan khusus mengikut bentuk perniagaan yang lengkap dan komprehensif.

Kajian ini hanya menggunakan kaedah analisis kandungan ke atas laporan tahunan Institusi Perbankan Islam dan laporan tahunan koperasi. Ini menyebabkan kajian tidak dapat dibuat secara mendalam dan dapatan kajian tidak boleh digeneralisasikan kepada bentuk perniagaan yang lain. Analisis kandungan juga perlu dilakukan ke atas dokumen sokongan seperti lembaran kerja taksiran zakat perniagaan bagi menilai ketepatan taksiran zakat yang telah dibuat. Selain itu, kajian dengan pendekatan kualitatif menggunakan kaedah kajian kes, temu bual atau focus group discussion dicadangkan kepada penyelidik pada masa akan datang bagi memperoleh data kajian yang lebih terperinci dan mendalam.

Dapatan kajian ini dijangkakan dapat membantu institusi zakat menghasilkan templat pengiraan zakat perniagaan yang khusus mengikut bentuk perniagaan dan diamalkan di seluruh Malaysia. Buku pengiraan zakat perniagaan mengikut bentuk perniagaan seperti peniaga kecil, peniaga atas talian dan penyedia perkhidmatan takaful boleh diterbitkan selepas kajian lanjutan dilaksanakan. Buku yang dihasilkan hendaklah sesuai untuk bacaan umum agar dapat menggalakkan perniagaan dari pelbagai bentuk melaksanakan tanggungjawab zakat perniagaan.

Categories: Research Report

Leave a Reply

Your email address will not be published.