Wakalah Zakat Korporat Dalam Kalangan Syarikat

Wakalah Zakat Korporat Dalam Kalangan Syarikat

  • Post by:
  • December 20, 2023
  • Comments off

Wakalah Zakat Korporat Dalam Kalangan Syarikat

Konsep wakalah zakat merupakan satu dasar yang diperkenalkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dalam pengembalian wang zakat kepada individu atau organisasi yang membayar zakat kepada PPZ-MAIWP untuk diagihkan kepada asnaf yang layak. Kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk mengkaji pengetahuan syarikat mengenai pendekatan wakalah korporat, mengenalpasti kesedaran syarikat tentang penggunaan wakalah dalam Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) serta menganalisis keberkesanan wakalah korporat dalam kalangan syarikat di Malaysia, khususnya syarikat di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kajian ini menggunakan metodologi kualitatif iaitu kaedah temu bual bersama dengan 14 buah syarikat yang terdiri daripada 5 sektor iaitu perbankan, takaful, pendidikan tinggi, perkhidmatan kewangan serta pembuatan dan perkhidmatan. Persampelan yang digunakan adalah persampelan bertujuan dimana pemilihan syarikat dibuat berdasarkan cadangan nama syarikat yang diberikan oleh PPZ-MAIWP. Informan temu bual merupakan staf yang menguruskan secara langsung pelaksanaan agihan dana wakalah kepada individu atau organisasi terpilih. Hasil kajian menunjukkan 86% daripada jumlah syarikat adalah mempunyai pengetahuan tentang pendekatan wakalah korporat. Kebanyakan syarikat juga mempunyai tahap kesedaran yang tinggi tentang kelebihan wakalah dalam membantu syarikat meningkatkan dana aktiviti-aktiviti CSR mereka. Bantuan yang ingin disampaikan dalam pelbagai bentuk kepada masyarakat adalah lebih meluas dari sudut lokaliti dan secara tidak langsung memberi impak positif terhadap reputasi syarikat di mata masyarakat umum. Reputasi institusi zakat juga menjadi lebih baik kerana masyarakat dapat melihat ketelusan bagaimana agihan zakat dibuat kepada asnaf yang layak melalui projek CSR yang dijalankan oleh syarikat. Hubungan baik yang terjalin antara agensi mengurus zakat seperti PPZ-MAIWP dan beberapa syarikat besar dilihat memberi kesan kepada pembayaran zakat perniagaan secara konsisten, walau bagaimanapun jalinan hubungan erat dengan syarikat-syarikat kecil juga perlu dipertingkatkan.

Researchers

Azlindawati Hassan

Yusnifarina Yunus

Norazwanni Misrun

Suria Rismawati Sanwari

Nur Hidayah Muhamad Johari

Farah Wahida Abd Rahman

Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL)

Categories: Research Report