Pada 11 Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan Wabak Covid-19 sebagai Pandemik. Krisis global akibat penularan wabak COVID-19 ini bukan sahaja melibatkan kesan kepada pasaran ekonomi malah ia turut menyumbang kepada kesan yang besar kepada pendidikan, kesihatan, pemakanan dan kesejahteraan kanak-kanak. Sedia maklum, di Malaysia proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR) telah mula di amalkan bagi menggantikan proses pembelajaran dan pengajaran secara konvensional.
Bila sahaja kita menyebut tentang pendidikan ia bukan sahaja melibatkan pelajar malah ibu bapa, guru-guru, warga pendidikan dan rakyat secara keseluruhannya. Setelah hampir 2 tahun fenomena pandemik ini, pelbagai penstrukturan pendidikan telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan bagi memastikan pelajar-pelajar tidak tercicir dari pembelajaran. Anggaran 41 minggu atau lebih dari 200 hari pelajar-pelajar tidak ke sekolah sejak pandemik Covid 19 melanda, adakah keadaan fizikal dan mental mereka sudah bersedia untuk memulakan persekolahan yang akan dibuka semula pada 03 Oktober 2021 nanti. Apakah sektor pendidikan sudah cukup bersedia dengan prasarana, infrastruktur dan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk meneruskan penjajaran secara konvensional.
Persoalannya, jika situasi pandemik ini terus berlanjutan bagaimana kluster pendidikan dapat dipacu dengan lebih inklusif dan lebih baik untuk tahun-tahun kehadapan agar generasi pelajar di era pandemik ini tidak merasa ketinggalan ataupun kehilangan.
Demikian dengan itu janganlah lepaskan peluang ini, marilah bersama-sama mendengarkan perkongsian Webinar Covid 19: Generasi Yang Hilang yang di bentangkan oleh Dr. Anuar Ahmad, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Webinar dimoderatorkan oleh En. Mohamad Noor Sahidi Johari, Pengurus Kanan, Akademi Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP).