Soalan Assalamualaikum. Saya ingin bertanya adakah hutang perlu dizakatkan? Sama ada orang berhutang dengan saya mahupun saya berhutang dengan orang lain. Mohon penjelasan. Jawapan Ringkas Sudut Pemiutang: Secara umumnya diwajibkan membayar zakat dalam setiap keadaan. Perbezaannya hanya dari sudut kewajipan waktu pembayarannya sahaja. Sekiranya hutang tersebut boleh diperolehi atau berpotensi dilunaskan dalam tahun semasa zakat ditaksir, maka zakat wajib dibayar pada tahun tersebut. Adapun jika hutang tersebut tidak mampu diperoleh semula atau adanya penangguhan dalam pembayaran semula hutang disebabkan alasan yang pelbagai, maka bayaran zakat ditangguhkan sehinggalah hutang tersebut diperolehi semula walaupun telah berlalu beberapa tempoh haul. Sudut Penghutang: Kategori “Hutang yang Bertangguh” tidak akan menggugurkan kewajipan zakat terhadap mereka. Hanya “Hutang Yang Perlu Dibayar Segera” sahaja yang boleh mengurangkan jumlah nisab dan menggugurkan kewajipan zakat sekiranya harta penghutang tidak mencapai nisab zakat setelah ditolak hutang tersebut. Huraian Jawapan Agama Islam tidak melarang kita daripada berhutang bahkan wujud nas al-Quran membicarakan dengan jelas perihal hutang-piutang. Perkara ini membuktikan bahawa agama Islam merupakan agama yang bersifat menyeluruh merangkumi semua aspek kehidupan. Firman Allah SWT: يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ وَلْيَكْتُبْ بَيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)”. Surah al-Baqarah (282) Ibn Kathir menerangkan: “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Lihat: Tafsir Ibn Kathir; 1/722) Jelas di sini hutang tidaklah dilarang mahupun ditegah dalam Islam. Akan tetapi, timbul persoalan di sini apabila hutang yang dipinjam atau yang dipinjamkan melebihi nisab (jumlah minimum yang dikira sebagai syarat bagi harta yang wajib dikeluarkan zakat) dan juga telah mencukupi haul (tempoh setahun), adakah ia mengikut kepada syarat-syarat bagi zakat emas, perak dan wang simpanan dari segi nisab, nilai, tempoh haul dan sebagainya. Hutang secara hakikatnya merupakan milik pemiutang namun ia tidak berada dalam tangan pemiliknya selagi masih belum dilunaskan. Bertitik tolak daripada hal ini, para ulama’ berselisih pendapat dalam meletakkan kewajipan zakat ke atasnya. Perbincangan akan difokuskan terhadap kewajipan zakat daripada dua aspek iaitu pemiutang dan penghutang. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 23/238) Pertama: Pemiutang (Orang yang memberi hutang) Menurut mazhab Syafie, pemiutang wajib mengeluarkan zakat apabila telah mencukupi nisab zakat dan cukup tempoh haulnya iaitu setahun. Pemiutang yang cukup nisab sama ada melalui amaun hutangnya semata-mata ataupun setelah bercampur bersama harta yang lain, dia wajib mengeluarkan zakat apabila genap tempoh setahun, yakni hukumnya sama seperti zakat bagi harta yang berada dalam pemilikannya secara sempurna. Hujahnya, hutang tersebut juga merupakan harta yang telah cukup nisab dan haul setahun lantas pemiutang wajib mengeluarkan zakat. Berkenaan isu hutang yang masih belum diterimanya semula, ia tidaklah menghalang kewajipannya untuk mengeluarkan zakat. Hal ini samalah dengan kes harta wadi’ah (الوديعة)[1]. Ia tetap dikenakan zakat, sekalipun tiada dalam pegangan pemiliknya. Seterusnya, di sini terdapat perbahasan berkenaan bilakah zakat tersebut harus dikeluarkan, adakah pada setiap tahun atau hanya pada tahun dikembalikan hutangnya pada pemiutang? Persoalan ini boleh dijawab berdasarkan kepada jenis hutang tersebut sama ada hutang segera ataupun hutang bertangguh. Hutang Segera Hutang Segera ialah hutang yang wajib dibayar secepat mungkin khususnya apabila dituntut. Sekiranya pemiutang boleh mendapatkannya semula daripada penghutang yang mampu melunaskannya, dia wajib segera mengeluarkan zakatnya, sekalipun hutang itu belum diterimanya. Ini kerana hutang tersebut telah dikuasainya, samalah keadaannya dengan harta wadi’ah yang boleh diambil daripada penghutang dan menggunakannya pada bila-bila masa. Sekiranya pemiutang tidak mampu mendapatkan hutangnya semula kerana kesusahan penghutang atau dia tidak mengakuinya, sedangkan pemiutang tiada bukti untuk mendakwanya, maka dia tidak wajib mengeluarkan zakatnya pada ketika itu. Ini kerana dia tidak mampu mengambil dan menggunakan hutang tersebut. Namun demikian menurut mazhab Syafie, zakatnya tetap disimpan selama hutang itu dalam tanggungan penghutang berkenaan, dan jumlah zakat yang tertunggak, hendaklah dikeluarkan apabila hutang tersebut diterimanya kerana zakat hutang itu wajib ke atas zimmah (pundak tanggungjawab) pemiliknya pada setiap tahun. Keadaannya sama dengan harta yang hilang, wajib dikeluarkan zakatnya apabila harta itu didapati semula. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/68) Hutang Bertangguh Hutang Bertangguh pula ialah hutang yang diberikan tempoh masa untuk melunaskannya seperti contoh hutang kereta, rumah dan lain-lain yang diberikan tempoh masa yang lama seperti 20 hingga 30 tahun untuk melunaskannya. Hutang bertangguh tidak wajib dikeluarkan zakat sehinggalah tempoh akhir masa yang dipersetujui bersama. Sekiranya tempoh yang diberikan sudah tamat dan pemberi hutang telah menerima hutangnya ataupun belum terima tetapi mampu mendapatkannya, maka dia wajib mengeluarkan zakatnya bagi tahun-tahun yang lalu berdasarkan mazhab Syafie. Sekiranya hutang tersebut belum diterima dan tidak mampu mendapatkannya, dia hendaklah menunggu sehingga mampu diperoleh, kemudian barulah mengeluarkan zakat bagi tahun-tahun yang lalu. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/69) Pandangan ini juga yang diputuskan oleh Majma’ Fiqh Islami dan dipilih oleh Dr Yusuf al-Qaradawi (Fiqh Zakat 1/155). Kecenderungan ini atas dasar pertimbangan melihat kepada keadaan pemiutang yang sudah terbeban akibat daripada penangguhan hutang yang sepatutnya dilunaskan dan mungkin akan menambah lagi bebannya sekiranya perlu membayar zakat untuk beberapa tahun. Di sini, kami lampirkan beberapa contoh situasi bagi kedua-dua situasi hutang segera dan hutang bertangguh beserta penyelesaian berkenaan urusan zakat hutang. Situasi 1: Hutang segera yang mampu diperoleh semula Abu berhutang dengan Ahmad sebanyak RM 15,000 dan berjanji akan mengembalikannya semula selepas setahun. Setelah tempoh setahun berlalu, Abu hanya mampu untuk membayar RM10,000 terlebih dahulu, baki lagi RM5,000 akan diberikan selepas seminggu. Dalam hal ini, walaupun Ahmad tidak menerima hutangnya secara penuh namun dia tetap perlu mengira wang tunai dalam milikannya termasuklah hutang yang diberikan kepada Abu secara penuh iaitu sebanyak RM 15,000 untuk dikeluarkan zakat ke atasnya. Ini kerana hutang tersebut dikategorikan sebagai hutang segera yang mampu diperoleh semula dalam masa terdekat. Situasi 2: Hutang segera yang tidak mampu diperoleh semula Ali berhutang dengan Ammar sebanyak RM15,000 dan berjanji untuk memulangkannya dalam tempoh 6 bulan. Akan tetapi, setelah 6 bulan berlalu, Ammar tidak dapat menghubungi Ali untuk menuntut semula hutangnya yang diberikan kepadanya. Maka, Ammar tidak pasti sama ada Ali akan membayar hutangnya semula atau tidak. Kemudian setelah tiga tahun, Ali muncul semula dan datang berjumpa Ammar untuk membayar kesemua hutangnya. Jadi, selepas Ammar menerima semula wangnya, Ahmad perlulah mengeluarkan zakat ke atasnya bagi
Read More
