Home / DIMENSI BAHARU ZAKAT DI MALAYSIA Dimensi Baharu Zakat Di Malaysia dipecahkan kepada dua topik iaitu Fiqh Zakat dan Pengurusan Zakat. Sistem zakat dan filantropi amnya telah berkembang pesat diseluruh dunia. Di Malaysia khasnya, sistem zakat ini semakin diterima umum sebagai medium pembangunan ekonomi dan jaminan sosial masyarakat. Sistem ini mempunyai potensi yang besar, maka ia perlu diperkasa dan dilonjakkan seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan kewangan Islam negara. Bidang zakat serta kehartaan umat Islam sangat penting untuk dibincangkan oleh para akademik dan badan pelaksana sebagai satu platform terbaik untuk meletakkan bidang pengurusan harta Islam sejajar dengan bidang-bidang lain yang sedang bergerak maju ke hadapan. Usaha melestari sistem ekonomi Islam khususnya filantropi seperti zakat sangat penting dalam meningkatkan kehidupan sosio-ekonomi umat Islam. Terdapat pelbagai isu kontemporari khasnya tentang zakat dalam aspek fiqh, pengurusan, dakwah, pendidikan, perundangan, dan sebagainya perlu dikongsi oleh ahli akademik, sarjana Islam serta pemain industri bagi memastikan pelaksanaannya memenuhi tuntutan syarak serta memberi motivasi dan impak positif kepada masyarakat. Kesemua konsep yang diutarakan melalui buku ini harus mampu untuk diketengahkan dalam aliran arus perdana supaya berupaya untuk mendepani arus globalisasi ekonomi dunia yang semakin mencabar, apatah lagi menjalani situasi ekonomi pasca pandemik COVID-19. Sudah tiba masanya masyarakat Islam untuk didik dengan kebertanggungjawaban sosial dengan memperkasa budaya memberi dalam kehidupan, bukan mengejar keuntungan dunia semata-mata. Masyarakat yang diterapkan dengan perasaan kasih sayang, keprihatinan dan kepedulian sudah tentu dapat menstabilkan kehidupan masyarakat kini yang sedang mengalami detik-detik mencabar, bukan sahaja dalam aspek ekonomi, malah survival manusia. Adalah diharapkan agar penerbitan buku ini dapat menjadi wadah diskusi yang sangat penting bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat tentang bidang zakat. Usaha ini perlu dipergiat lebih lagi supaya bahan-bahan bacaan berkaitan subjek yang amat penting ini tidak putus dan terhenti setakat ini sahaja. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak penerbit, para editor dan semua penulis buku ini, kerana telah berjaya mewujudkan wadah dakwah zakat khusus kepada masyarakat. Semoga usaha yang dicurahkan dalam menerbitkan buku ini mendapat ganjaran dan pahala disisi Allah SWT. Editorial Team: Muhammad Ihklas Rosele Universiti Malaya Mohamad Noor Sahidi Johari Muhsin Nor Paizin Akademi Zakat (AZKA-PPZ) Lain-lain Terbitan
Read More