Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Pembayaran Zakat Dari Institusi Korporat
- Post by: AZKA
- December 25, 2021
- No Comment
Ini merupakan kajian yang dilaksanakan oleh Akademi Zakat (AZKA) dengan kerjasama Accounting Research Institute (ARI), Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Objektif kajian ini adalah untuk:
(1) Mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi pembayaran zakat korporat khususnya di kalangan syarikat korporat dan;
(2) Mencadangkan penambahbaikan yang perlu kepada Institusi Zakat dari perspektif pendekatan berasaskan nilai (value-based).
.Kajian ini menggunakan kaedah gabungan (Mixed Method): temubual dan soal selidik. Data untuk kajian ini adalah: 10 syarikat korporat untuk temubual dan 50 syarikat korporat untuk responden soal selidik.
Secara keseluruhannya, dapatan kajian ini menunjukkan bahawa kesedaran membayar zakat korporat boleh dipertingkatkan melalui beberapa strategi yang dapat menyumbang kepada peningkatan pembayaran zakat korporat. Antaranya, (1) promosi inisiatif keberkesanan agihan zakat korporat oleh institusi zakat dan syarikat korporat melalui stakeholder engagement, laporan dalam talian dan lain-lain saluran komunikasi dapat meningkatkan kepercayaan antara pihak-pihak berkepentingan, (2) pembangunan rangkakerja pelaporan maklumat inisiatif wakalah untuk meningkatkan keberkesanan pelaporan. Maklumat pelaporan ini dapat digunakan oleh pihak berkepentingan untuk membuat keputusan yang lebih efektif dan (3) peranan peneraju oleh institusi zakat seperti institusi zakat Wilayah dapat dijadikan sebagai penanda aras atau amalan terbaik untuk institusi zakat di setiap negeri.
Ini dapat meningkatkan inisiatif bersama ke arah pembangunan pertumbuhan sosio-ekonomi negara melalui dana zakat korporat. Secara kesimpulannya, kajian ini dapat mengenalpasti hala tuju strategik untuk mengoptimakan sumbangan zakat korporat terhadap pembangunan sosio-ekonomi negara.