Zakat Gratuiti dan Imbuhan

Zakat Gratuiti dan Imbuhan

Ramai yang keliru tentang kedudukan gratuiti dan imbuhan yang diterima samada tunduk kepada zakat atau tidak. Bagi memudahkan kefahaman, mari kita lihat terlebih dahulu mengenai konsep gratuiti itu sendiri.

Gratuiti menurut Kamus Dewan bermaksud ganjaran biasanya berupa wang yang diberikan oleh majikan kepada pekerja yang berhenti atau bersara sebagai penghargaan kepada perkhidmatan yang telah diberikan. Manakala wang pampasan pula merujuk kepada wang yang dibayarkan sebagai ganti rugi.

Dalam hukum fiqh yang berkaitan dengan kewajipan zakat ke atas sesuatu jenis harta, jelas menunjukkan setiap harta yang yang diperolehi dan berpotensi untuk dikembangkan dan berupaya menerima pengembangan iaitu dari aspek al-Nama’ serta mampu mewakili konsep kekayaan dan kehartaan iaitu al-Ghina, maka kedua-dua aspek ini akan menjadikan sesuatu harta itu tertakluk kepada zakat.

Selain itu ia juga bertepatan dengan arahan umum menerusi firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.

Di dalam ayat ini terdapat kalimah ma kasabtum yang bermaksud semua hasil usaha. Gratuiti adalah salah satu dari hasil usaha yang berkaitan dengan pekerjaan yang telah kita lakukan selama tempoh berkhidmat.

Berdasarkan takrifan gratuiti, pampasan dan imbuhan yang dijelaskan kita mendapati ia adalah menepati ciri-ciri yang terdapat pada pendapatan yang tertakluk kewajipan zakat ke atasnya. Maka ia dikategorikan dalam hukum fiqh sebagai salah satu dari al-mal al-mustafad (harta perolehan) yang diwajibkan padanya zakat.

(Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15905)

Justeru, semua jenis pendapatan, perolehan, gratuiti, imbuhan, pampasan bonus, emolument, royalti dan apa jua jenis perolehan yang diberikan hasil dari pekerjaan atau khidmat professional yang dilakukan adalah tunduk kepada kewajipan berzakat jika memenuhi segala syarat kewajipan zakat ke atasnya.

Sebagai umat Islam, kecaknaan terhadap kewajipan ibadah dari aspek harta ini menjadi satu tuntutan yang utama kerana ia termasuk dalam rukun Islam yang lima. Semoga kita termasuk dari kalangan hamba-hamba Allah yang sentiasa setia dengan kebenaran dan landasan agama dalam usaha mencapai keredhaanNya pada setiap tindakan dan ketika.


Sumber: https://www.zakat.com.my/artikel-zakat/2021/zakat-gratuiti-dan-imbuhan/

Categories: Article
Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published.