Muzakarah Zakat Aset Digital 2020 – Status dan Prospek Masa Hadapan
The Cube, Akademi Pengajian Islam, UM
25 Feb 2020
Muzakarah zakat merupakan antara medium penting
perbincangan terhadap isu-isu semasa berkaitan zakat di Malaysia. Ia dapat
memberikan input penting serta satu bentuk penyampaian ilmu dan maklumat dalam
kalangan institusi zakat khususnya dan masyarakat awam keseluruhannya.
Muzakarah Zakat kali ini akan membincangkan mengenai zakat aset digital yang
memfokuskan mengenai konsep, status hukum dan prospek kutipan zakat dalam
memperkasakan kutipan zakat di Malaysia.
Dengan perkembangan aset
seperti fintech atau blockchain yang mewujudkan bitcoin dan seumpamanya telah
membuka lapangan baru kehartaan umat Islam. Dari sini perbincangan-perbincangan
hangat telah berlaku antara intelektual Islam untuk melihat kedudukan aset
digital seumpama ini. Jika dahulu emas dan perak fizikal menjadi aset tukaran
dan bernilai kini aset maya telah cuba mengambil tempat.
Antara perbincangan utama
adalah perspektif Islam terhadap aset digital ini. Sebahagian intelektual
Muslim semasa dilihat mengharuskan penggunaannya bahkan menganggap ia akan
menjadi satu keperluan mendesak pada masa akan data. Justeru, oleh kerana aset
digital ini dilihat bernilai, menjadi aset tukaran dan subur, secara kasarnya
ia merupakan sesuatu yang boleh dilihat dari perspektif kutipan zakat.
Oleh kerana itu, Muzakarah ini diinisiatifkan untuk membincangkan prospek zakat aset digital disamping idea-idea perlaksanaannya oleh pusat kutipan zakat. Muzakarah ini akan mengumpulkan beberapa intelektual Islam Malaysia yang mempunyai kepakaran khusus untuk membincangkan isu ini dan memberi input-input berharga buat Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.