Kajian ini bertujuan menilai semula penanda aras kemiskinan bandar di Wilayah Persekutuan, khususnya Kuala Lumpur, dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup semasa. Berdasarkan data asnaf MAIWP dan kajian lapangan terhadap 396 responden, didapati majoriti isi rumah miskin bandar berpendapatan bawah RM2,500 dan sangat bergantung kepada bantuan zakat. Walaupun kutipan zakat PPZ meningkat setiap tahun, jurang antara kutipan dan permintaan agihan semakin melebar, terutama apabila ramai asnaf dari luar Wilayah Persekutuan datang ke ibu kota untuk mendapatkan bantuan. Ini menunjukkan betapa pentingnya sistem agihan zakat yang responsif dan berasaskan data sebenar perbelanjaan isi rumah.
Kajian turut menegaskan bahawa kos sara hidup di bandar, terutamanya bagi perbelanjaan bukan makanan seperti sewa, pendidikan dan pengangkutan, jauh lebih tinggi berbanding luar bandar. Oleh itu, penetapan had kifayah sedia ada perlu disemak semula agar lebih realistik dengan keperluan sebenar rakyat bandar. Tumpuan perlu diberi kepada perlindungan sosial yang bersasar, termasuk perumahan, penjagaan kesihatan dan sokongan pendidikan. Dalam konteks ini, agihan zakat tidak boleh lagi bersifat reaktif tetapi perlu strategik dan mampu mengangkat martabat asnaf keluar dari belenggu kemiskinan secara lestari.
Sehubungan itu, kepatuhan masyarakat awam dan syarikat membayar zakat melalui PPZ-MAIWP sangat penting. Institusi ini bukan sahaja berfungsi sebagai pemungut, tetapi juga sebagai pengurus agihan yang berpandukan prinsip syariah dan keperluan semasa. Pembayaran zakat melalui saluran rasmi memastikan ketelusan, keberkesanan dan keadilan agihan, selain membolehkan pembangunan sistem bantuan berskala besar seperti skim pendidikan, perumahan dan kesihatan untuk asnaf. Bagi syarikat pula, ia merupakan peluang memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) berlandaskan maqasid syariah serta mengukuhkan jenama sebagai entiti yang menyumbang kepada kesejahteraan ummah.
Penulis
Islamic Finance and Wealth Management Institute (IFWMI)
Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)