Persepsi Pengguna Terhadap Jenama Institusi Zakat, Logo Dan Sijil Pembayar Zakat Perniagaan Dalam Meningkatkan Kutipan Zakat

Persepsi Pengguna Terhadap Jenama Institusi Zakat, Logo Dan Sijil Pembayar Zakat Perniagaan Dalam Meningkatkan Kutipan Zakat

  • Post by:
  • September 6, 2024
  • Comments off

Ringkasan Eksekutif

Kepentingan hasil zakat kepada masyarakat Islam khususnya dan negara amnya tidak dapat dinafikan. Hasil kutipan zakat datang daripada pelbagai sumber, antaranya pendapatan dan perniagaan, digunakan untuk tujuan pembangunan ummah terutamanya dalam mengimbangi sosio-ekonomi umat Islam dan membasmi kemiskinan. Statistik golongan yang memerlukan zakat meningkat setiap tahun lebih-lebih lagi di masa ekonomi yang tidak menentu. Oleh yang demikian, jumlah kutipan zakat hendaklah dapat menampung keperluan golongan yang memerlukan tersebut dan pada masa yang sama pembangunan ummah dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Berdasarkan laporan lalu sebanyak 60 peratus daripada individu Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) masih belum membuat potongan gaji atau masih belum menunaikan zakat pendapatan (Muhammad Nasir, 2020). Kajian daripada Shukor dan Muhammad (2021) melaporkan, individu berumur 45 tahun dan ke bawah di Wilayah Persekutuan (WP) lebih ramai tidak membayar zakat berbanding individu 45 tahun ke atas. Laporan ini mencetuskan fenomena menarik mengenai persepsi dan gelagat warga WP terutamanya, kepada kepatuhan zakat. Secara khususnya, masih belum terdapat literatur dan kajian yang dijalankan bagi menjelaskan fenomena tersebut. Justeru, kajian yang dicadangkan ini cuba untuk mengkaji keberkesanan logo dan sijil pembayar zakat dalam kalangan pembayar zakat. Bagi mencapai objektif ini, kaedah kualitatif akan dilaksanakan di kalangan mereka yang diberi kuasa dalam syarikat yang menggunakan logo zakat di produk/premis mereka. Kajian ini juga cuba mengenalpasti sejauh mana jenama institusi zakat (PPZ-MAIWP) dapat mempengaruhi niat pengguna untuk membeli produk syarikat yang membayar zakat. Teori Tingkahlaku Terancang (Theory of Planned Behaviour – TPB) diaplikasikan bagi melihat peranan angkubah terhadap niat untuk membeli produk syarikat yang menjadi pembayar zakat dan niat pengguna untuk membayar zakat. Dalam mencapai objektif ini, kajian kuantitatif akan dilaksanakan. sebanyak 1,000 set borang soal selidik diedarkan kepada warga Wilayah Persekutuan (WP) yang dikenalpasti sebagai responden kajian. Data yang diperolehi akan dianalisis menggunakan perisian SPSS (Statistical Package for Social Science). Hasil kajian ini boleh dimanfaatkan oleh pelbagai pihak dalam usaha untuk meningkatkan kutipan zakat.

Researchers

Dr. Wan Rasyidah Wan Nawang

Profesor Madya Dr. Muhamad Azrin Nazri

Profesor Madya Dr. Syadiyah Abdul Shukor

Dr. Amalina Mursidi

Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee

Dr. Wan Nur Fazni Wan Mohamad Nazarie

Puan. Adlin Masood

Dr. Aimi Fadzirul Kamarubahrin

Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Categories: Research Report