Perkembangan Revolusi Industri 4.0 telah mendorong pelbagai sektor untuk melakukan transformasi dalam pendekatan dan bentuk perkhidmatan masing-masing. Antara sektor yang mengalami evolusi dari semasa ke semasa adalah sektor kewangan dan perbankan. Perkembangan semasa memperlihatkan pelbagai inovasi berkaitan Teknologi Kewangan (FinTech) yang dilihat mampu memberi nafas baharu dan anjakan paradigma dalam ekosistem perbankan dan kewangan global, antaranya dengan kewujudan matawang kripto dan juga token digital. Para pengkaji dan cendekiawan Syariah berbeza pandangan dalam menanggapi isu ini, namun perkembangan terkini pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah mengeluarkan garis panduan bagi operasi dan pelaburan aset digital. Oleh itu, kajian ini akan memfokuskan potensi kenaan zakat ke atas matawang kripto dan token digital berpandukan fungsi dan praktis semasa masing-masing. Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti samada matawang kripto adalah bersesuaian dengan konsep mal (harta) yang tertakluk kepada hukum zakat dan jika menepati konsep harta, apakah jenis zakat yang sewajarnya ditaksir ke atas matawang kripto? Kajian akan menggunakan kaedah kualitatif dengan pendekatan analisis kandungan dan juga analisis dokumen yang berkaitan. Kajian ini dianggap sebagai kajian rintis bagi melihat potensi pengambilan matawang kripto dan token digital sebagai sumber baharu bagi kenaan zakat yang memerlukan perincian yang lebih mendalam dan komprehensif untuk perhatian dan rujukan pihak-pihak pemegang taruh dalam bidang zakat.